FriendsterKit.com Click here to get one

Sunday, March 23, 2008

Luqman Al-Hakim sebaik-baik Tauladan

APABILA menyebut soal pendidikan anak-anak secara tidak langsung ia lebih tertumpu kepada tugas dan tanggungjawab ibu bapa. Untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang kamil tidaklah semudah yang diperkatakan seperti yang diperkatakan dalam buku, majalah dan seminar.

Ia lebih menekankan soal keinsafan, kesedaran dan sikap tanggungjawab yang mendalam di samping mempunyai aqidah yang kental terhadap Allah SWT. Justeru itu, Allah SWT telah merakamkan beberapa keistimewaan yang dilakukan oleh Luqmanul Hakim sewaktu mendidik anak. Di antara nasihat Lukman kepada anaknya ialah:

1. Hendaklah engkau selalu berada di majlis para ulama' dan dengarlah kata-kata para hukama (orang yang bijaksana), kerana Allah menghidupkan jiwa yang mati dengan hikmat sepertimana menghidupkan bumi yang mati dengan hujan yang lebat.

2. Janganlah engkau jadi lebih lemah daripada seekor ayam jantan, ia telah berkokok pada waktu pagi hari sedangkan engkau pada ketika itu masih terbaring di atas katilmu.

3. Janganlah engkau menangguhkan taubat kepada Allah kerana mati itu akan datang tiba-tiba.

4. Dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak orang sudah ditenggelamkannya. Oleh itu, jadikanlah taqwa sebagai kapalnya.

5. Pukulan bapa ke atas anaknya bagaikan air menyirami tanaman.

6. Tiga orang yang tidak dapat dikenali melainkan pada tiga keadaan. Orang yang lemah lembut melainkan ketika marah, orang yang berani melainkan ketika berperang dan saudara maramu melainkan ketika engkau berhajat dan memerlukan pertolongan daripadanya.

7. Sesungguhnya dunia ini sedikit sahaja, sedangkan seluruh umurmu lebih sedikit daripada itu. Manakala umurmu yang masih berbakti lagi amat sedikit daripada yang lebih sedikit tadi.

Tuesday, December 4, 2007

Sifat Pemaaf Membentuk Peribadi Muslim Sejati

Adakalanya kita sukar memaafkan orang yang pernah melakukan kesilapan. Kadangkala juga kita masih terbawa-bawa dengan kesilapan yang dilakukan kepada kita pada masa lampau.

Erti memberi kemaafan adalah apabila seseorang itu mampu untuk membalas kejahatan yang dilakukan terhadapnya atau menuntut sesuatu daripada mereka yang melakukan kesalahan itu, namun mereka tidak melakukannya, malah memaafkannya secara ikhlas.
Nabi Yusuf as adalah anak kesayangan bagi Nabi Yaakub dan baginda dicemburui oleh saudaranya yang lain. Mereka mengkhianati Nabi Yusuf dan mencampakkan Baginda ke dalam perigi.

Namun, Baginda diselamatkan oleh sekumpulan musafir dari Mesir lalu mereka membawanya ke sana. Untuk dipendekkan cerita, akhirnya Nabi Yusuf dilantik oleh pemerintah Mesir untuk menjadi pembesar negara bertanggungjawab menjaga perbendaharaan. Baginda kemudian ditakdirkan bertemu semula dengan saudaranya yang mengkhianatinya sebelum ini.

Dengan kekuasaan yang ada pada tangan Baginda, tentu sekali dengan mudah Baginda mampu membalas perbuatan khianat saudara kandungnya itu. Namun, sikap pemaaf Baginda menghindarinya daripada bersikap sedemikian dan kisah ini dirakamkan di dalam al-Quran melalui ayat:

Mereka bertanya (dengan hairan): “Engkau ini Yusufkah? ” Dia menjawab: “Akulah Yusuf dan ini adikku (Bunyamin). Sesungguhnya Allah mengurniakan nikmat-Nya kepada kami. Sebenarnya sesiapa yang bertakwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang berbuat kebaikan.

Mereka berkata: “Demi Allah! Sesungguhnya Allah melebihkan dan memuliakan engkau daripada kami (disebabkan takwa dan kesabaranmu); dan sesungguhnya kami adalah orang yang bersalah”.

Yusuf berkata: “Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (perbuatan kamu yang terlanjur itu), semoga Allah mengampunkan dosa kamu, dan Dia juga Yang Maha Mengasihani daripada segala yang lain yang mengasihani. (Yusuf (12) : 90-92)

Orang yang bertakwa adalah mereka yang mengerjakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Allah mengkategorikan mereka yang pemaaf termasuk dalam golongan muttaqin (orang bertakwa). Allah mengampunkan mereka yang pemaaf serta menempatkan mereka di syurga.

Wednesday, October 31, 2007

Remaja dan Kebebasan


KEBEBASAN sesuatu yang dicari manusia, tetapi yang menakutkan ialah kebebasan membuatkan manusia terbabas. Bebas daripada ikatan agama, menjadi seperti haiwan tiada sebarang kawalan, membujur lalu melintang patah.

Kehidupan remaja yang sebegini amat dibimbangi. Remaja adalah harapan segalanya, harapan bangsa, agama dan negara. Baik remaja cemerlanglah masa depan negara, rosak mereka kelamlah masa depan.

Bebas dalam pergaulan amat dibimbangi. Lelaki perempuan jika sudah tiada batasan dalam pergaulan amat ditakuti terjerumus dalam kancah maksiat.

Berkawan memang boleh untuk belajar, berkenalan dan bersembang tetapi jangan sampai tidak terkawal. Islam dengan lengkap menunjukkan jalan dan batasnya.

Tulisan kali ini berkisar mengenai bahaya zina yang berleluasa akibat hidup tanpa batas. Cinta tanpa batas dan pergaulan tanpa batas.

Memang segala yang melampau batas akibatnya amat tercela. Berzina seakan-akan wabak menyerang minda sesetengah remaja yang menganggap ini soal peribadi.

Dosa aku, aku tanggung. Kubur masing-masing, kamu punya kubur kamu jaga, aku punya kubur aku jaga. Itu salah!!!. Kubur kita orang lain yang gali. Kadang-kadang kubur orang lain kita yang gali.

Zina ertinya melakukan hubungan kelamin tanpa hubungan perkahwinan yang sah. Hukumnya adalah dosa besar dan menurut perundangan Islam disebat sebanyak seratus rotan kalau penzina itu belum berkahwin manakala hukum rejam sampai mati dikenakan kepada pasangan yang telah berkahwin.

Hukuman ini berkuat kuasa walaupun pasangan penzina ini melakukannya hanya sekali. Dalam kitab Zabur diceritakan orang yang berzina, kelak kemaluannya akan digantung di dalam api neraka, dipukul dengan rantai daripada besi.

Islam satu agama yang amat releven dan penuh idea bukan hanya menumpukan isu rawatan tetapi terlebih dulu memberikan idea pencegahan. Semua tahu mencegah lebih baik daripada merawat.

Dalam hal ini Allah sebagai Tuhan yang amat mengetahui menyebut dalam al-Quran: “Janganlah kamu menghampiri zina sesungguhnya zina itu sangat menjijikkan dan jalan yang sangat jelek.”

Berdua-duaan dengan pasangan bukan mahram adalah haram. Di dalam kereta berdua-duaan, di dalam rumah berdua-duaan, menaiki motor apa lagi saling merapat-rapat lagi haram.

Dalam satu hadis melaporkan, apabila lelaki dan perempuan berdua-duaan berbondong-bondonglah tentera iblis mengerumuni untuk menggoda supaya melakukan maksiat.

Bagi memahami dengan lebih jelas lagi berlakunya zina akibat berdua-duaan mari kita melihat satu hadis nabi yang bermaksud: “Dua mata yang berzina (saling bertentangan mata) telinga berzina (saling dengar pujuk rayu), lidah berzina (cakap-cakap) zina tangan (berpegangan) zina kaki (melangkah pergi jumpa) zina hati (keinginan dan khayal seks) dan yang membenarkan semua zina anggota itu ialah zina kemaluan.

Apabila nafsu sudah ditawan syaitan al-maluun manusia menjadi bodoh dan dungu. Akal sudah tidak berfungsi lagi malah pada waktu itu kadangkala suara iman sudah tidak menasihati lagi. Jika terdetik berdosa akan ‘diterjah’ dan akhirnya iman terkeluar dan tercampak ibarat kereta yang tidak dapat dikawal lagi terus terbabas.

Monday, October 22, 2007

Pesanan Buat Sahabat


Berkata Hukamak:"Sekiranya kamu hendak mengetahui akan tingkah laku, peribadi atau kelakuan seseorang adalah ia seorang yang soleh atau toleh maka tidak perlu engkau bertanya di sana sini. Cukup dengan kamu melihat siapakah kawannya dan siapakah orang-orang yang disayanginya dan dari itu kamu akan mengetahui peribadinya kerana seseorang yang berkawan ia akan mengikuti kelakuan dan dan perbuatan kawannya itu".


Berkata Ulama'"Janganlah kamu berkawan melainkan dua orang dari tiga orang iaitu orang yang engkau pelajari daripadanya sesuatu tentang urusan agamamu maka orang itupun memanfaat ilmunya kepadamu.
Petikan Dari Nasihat Al-Qomah Kepada Puteranya:Berpesan Al Qomah kepadanya, "Wahai puteraku! Sekiranya engkau merasakan perlu untuk bersahabat dengan seseorang maka hendaklah engkau memilih teman-teman yang memiliki sifat yang berikut:

  1. Jika kamu ditimpa oleh bencana maka temanmu itu akan cuba melakukan sesuatu untuk menghilangkan dan meringankan kesusahanmu itu.
  2. Jika kamu meminta sesuatu bantuan atau pertolongan dari teman itu maka ia akan segera mengusahakannya.
  3. Jika kamu merancangkan sesuatu maka temanmu itu akan turut membantumu dengan memberikan pandangannya.
  4. Jika kamu bercakap-cakap dengannya maka temanmu itu akan membenarkan kata-katamu.
  5. Jika temanmu itu melihat sesuatu yang tidak baik dari perbuatan atau perkataan atau perkataanmu maka dia akan menutupinya.
  6. Jika kamu mengeratkan hubungan persahabatan dengan temanmu itu maka dia akan membalas dengan baik pertalian persahabatan itu.
  7. Jika kamu menghulurkan sesuatu kebaikan (hadiah) kepada temanmu itu maka ia akan menerimanya dengan baik malah ia membalasnya kembali.
  8. Jika temanmu itu mendapat sesuatu kebaikan dan kebajikan darimu itu maka ia akan mengingati, menghargai dan menyebutkan akan kebaikanmu itu.
  9. Jika kamu berdiam diri atau kerana malu untuk meminta sesuatu darinya maka dia akan bertanyakan akan kesusahanmu itu.
  10. Jika kamu berselisih faham dengan temanmu itu maka ia lebih rela mengalah demi untuk memelihara persahabatanmu itu.

Sunday, September 9, 2007

Erti Perjalanan


Hujan yang turun, kadang lebat dan kadang renyai, mengingatkanku kepada saat manis waktu kecil-kecil dahulu. Waktu hujan beginilah aku dengan rona ria akan meredah hujan, berkejar-kejaran membiarkan tubuh lencun dan kuyup dalam lopak-lopak air. Bonda hanya memberi amaran, jika demam dan sakit malam nanti, dia akan menambah sakit itu dengan cubitan dan kata-kata perli. Begitu yang terpacul di mulut bonda, meskipun ku tahu, tidak pernah kalam itu singgah di pelabuhan hatinya yang penuh cinta.

Aku tersenyum terkenangkan memori lalu. Saat menikmati kehijauan desa, melastik burung, sibuk dengan kayu kombat yang dikepit ke sana ke mari, atau membina pondok kayu di bawah pohon ketapang rendang, yang sebenarnya pondok itu dibina datuk setelah kami puas merengek bermerah muka kepadanya, yang melucukan, kami meminta datuk menyalakan api untuk memasak, tetapi sudahnya, kami pulang dan kembali menjinjit bekal makanan dari rumah dalam bingar telinga dileteri bonda dan makan bersama dengan dahi bermanik peluh.

Aku terdorong ke dalam kenangan lalu, saat kanak-kanak yang bebas dari tanggungjawab bekerja, kurangnya amanah yang tergalas, meskipun minda sesekali dijentik dengan kekentalan jiwa kanak-kanak Palestin, yang sejak kecil telah terdidik dengan perjuangan dan mengenali jihad.

Indahkah kenangan lalu saat datangnya malaikat bertanya : siapakah saudara kamu? Dan dengan yakin aku menjawab, orang-orang Islam saudaraku, tetapi hakikatnya aku tidak pernah mengambil tahu, sentiasa gembira mengejar pangkat dan harta, ralit dengan duniawi, sedang ku tahu, ini semua hanya petanda kiamat yang semakin hampir.Kenangan lalu kini gelita, dalam hati yang penuh cinta

Tuesday, August 7, 2007

Lafaz yang Tersimpan

Luluh hatiku yang sayu
Menatap wajahmu tenang dalam lena
Kasih zahirkan laku
Sedangkan bibirku jauh dari lafaznya

Dan raut tuamu membekas jiwaku
Meredakan rindu mendamaikan kalbu
Tak mungkin kutemu iras sentuhanmu
Biarpun kuredah seluruh dunia
Mencari gantimu

Betapa sukarnya menyusun bicara
Meluahkan rasa menuturkan sayang
Kasih yang terlimpah hanya sekadar tingkah
Cuma ungkapan kebisuan yang melindungkan kalimah rahsia

Masih kubiarkan waktu
Melarikan lafaz kasihku padamu

Mengapakah sukar menyusun bicara
Meluahkan rasa menuturkan sayang
Kasih yang terlimpah hanyalah sekadar tingkah
Cumalah ungkapan bisu kalimah rahsia

Apakah yang hilang andai dilisankan
Bait penghargaan penuh kejujuran
Tak mungkin terlihat cinta yang merona
Jika hanya renungan mata yang bersuara
Bukan atur kata

Tiada lagi ertinya pengucapan
Anadai akhir nafas di hujung helaan
Sebelum mata rapat terpejam
Usah biar kehilangan
Menggantikan lafaz yang tersimpan
UniC